Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16

Keberangkatan tiba

Permulaan istiadat ditandai oleh keberangkatan tiba Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Raja-Raja Permaisuri dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri pada jam 9 pagi. Istiadat Pecah Bendera dilaksanakan iaitu bendera peribadi masing-masing dipecah dan dikibarkan menandakan keberangkatan tiba tetamu-tetamu kenamaan utama di istana. Berikut merupakan senarai keberangkatan tiba di Anjung Pintu Utama Istana Negara mengikut turutan ketibaan.

  1. YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail & suami, YABhg. Dato' Seri Anwar Ibrahim
  2. YAB Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad & isteri, YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali
  3. YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj
  4. YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin
  5. YTM Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra & isteri, YBhg. Che Puan Sofie Louise Johansson
  6. TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud & isteri, YABhg. Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Ragad Kurdi Taib
  7. TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin & isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Panglima Norlidah RM Jasni
  8. TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob & isteri, YABhg. Toh Puan Datuk Seri Utama Zurina Kassim
  9. TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato' Seri Utama Dr. Hj. Abdul Rahman Abbas & isteri, YABhg. Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff
  10. DYMM Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail & DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil
  11. KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
  12. KDYMM Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin & KDYMM Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Binti Tengku Ariff
  13. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizuddin Shah & DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim Davidson
  14. DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj & DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin
  15. KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin & KDYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah
  16. KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah & KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha
  17. YM Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan
  18. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah & KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

Barisan tetamu kenamaan ini dibawa masuk ke Dewan Seri Maharaja Istana Negara. Keberangkatan tiba kedua-dua Seri Paduka Baginda di Istana Negara pada jam 10:00 pagi waktu Malaysia disambut oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk ke Peterana Diraja. Iringan tiupan Pancaragam Pusat Rejimen Diraja iaitu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sambil membawakan Panji Diraja dan Panji Rejimen Askar Melayu Diraja bermula dan lagu "Negaraku" dimainkan di Dataran Utama Istana Negara sebelum kawalan kehormatan utama disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda. Hormat diraja disempurnakan selepas itu dengan lagu "Negaraku" dimainkan sekali lagi.

Istiadat bermula

Seri Paduka Baginda berdua kemudian berangkat masuk ke Dewan Seri Maharaja. Kemudian, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama bersama pasangan masing-masing akan keberangkatan masuk ke Balairong Seri bersama-sama dari Dewan Seri Maharaja mengikut kekananan menaiki takhta. Berikut merupakan senarai keberangkatan masuk ke Balairong Seri.

1. YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia & suami
2. YAB Perdana Menteri Malaysia & isteri
3. YAM Tunku Temenggung Johor
4. YAM Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan
5. YTM Tengku Mahkota Kelantan & isteri
6. TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak & isteri
7. TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah & isteri
8. TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka & isteri
9. TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang & isteri

10. DYMM Pemangku Raja Perlis & DYTM Raja Puan Muda Perlis
11. KDYMM Pemangku Raja Pahang
12. KDYMM Sultan Kedah & KDYMM Sultanah Kedah
13. DYMM Paduka Seri Sultan Perak & DYMM Raja Permaisuri Perak
14. DYMM Sultan Selangor & DYMM Tengku Permaisuri Selangor
15. KDYMM Sultan Terengganu & KDYMM Sultanah Terengganu
16. YM Putera Mahkota Abu Dhabi
17. KDYMM Paduka Baginda Seri Sultan Brunei & KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri
18. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong & KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diumum berangkat masuk ke Balairong Seri dengan paluan gong. Kemudian, iringan tiupan nafiri dan nobat memainkan lagu "Raja Berangkat" oleh Kumpulan Nobat Diraja Terengganu mengiringi langkah Seri Paduka Baginda berdua ke singgahsana dan semua pengiring alat kebesaran mengambil tempat.

Datuk Paduka Maharaja Lela, Azuan Effendy Zairakithnaini, menghadap dan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memulakan istiadat pertabalan. Selepas mendapat perkenan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengisytiharkan penzahiran istiadat. Langkah yang sama juga dilakukan untuk membawa masuk al-Quranul Karim dan alat-alat kebesaran istiadat pertabalan ke dalam Balairong Seri dengan diiringi nobat dipalu lagu "Menjunjung Duli". Datuk Penghulu Istiadat mempersembahkan al-Quranul Karim kepada Datuk Paduka Maharaja Lela lalu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong lalu mencium dan meletakkannya di rehal di sisi kanan baginda.

Kemudian, Datuk Paduka Maharaja Lela membawa mengadap Perdana Menteri untuk membaca warkah pengisytiharan pertabalan. Pengisytiharan itu kemudiannya dibaca:

Bismillahirrahmanirrahim, bahawa inilah dimasyhurkan kepada sekalian orang serta penduduk Negara Malaysia iaitu Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja telah memilih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan pada hari, waktu dan saat yang gilang gemilang ini maka Seri Paduka Baginda ditabalkan naik takhta kerajaan menjadi turus negara bagi Malaysia dengan bergelar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

Selepas itu, Keris Panjang Diraja atau Keris Kerajaan dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda lalu dihunus dan dicium oleh baginda sebelum disarung kembali dan diletakkan di sisi kiri baginda.

Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian mempersembahkan Warkah Ikrar yang ditulis di atas kertas kulit kambing. Warkah ikrar itu kemudiannya dibaca:

Bismillahirrahmanirrahim, Beta Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, kerana dengan izin-Nya Beta telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Dengan ini, Beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara, serta memelihara dengan sempurna setiap masa agama islam, dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.

Semua hadirin di istana berdiri dan baginda melafazkan ikrar tersebut dan disambut oleh lagu "Raja Bertabal". Kemudian, laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali dilaungkan dan nyanyian lagu Negaraku dikumandangkan dan tembakan meriam 21 das dilepaskan. Lalu, Datuk Paduka Maharajalela membawa mengadap Perdana Menteri untuk mempersembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia. Selepas itu, Warkah Titah Diraja dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dizahirkan baginda.

Berikutan itu, Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Aziz Che Yacob, membacakan Doa Selamat. Selepas menghadap dan memohon perkenan baginda, Datuk Paduka Maharaja Lela menerima kembali al-Quranul Karim dari singgahsana dan diserahkan semula kepada Datuk Penghulu Istiadat. Selepas itu, Datuk Paduka Maharaja Lela memaklumkan bahawa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI selamat disempurnakan. Dengan berakhirnya istiadat tersebut, Yang di-Pertuan Agong berangkat meninggalkan Balairong Seri dengan iringan lagu "Raja Berangkat" dan disambung oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Raja-Raja Permaisuri dan Tuan-Tuan Yang Terutama ke Dewan Seri Mahkota untuk sesi bergambar.

Majlis Santapan Diraja

Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu bersama tetamu-tetamu diraja dan kehormat kemudiannya menghadiri Majlis Santapan Diraja sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI pada 31 Julai 2019 jam 8.30 malam di Dewan Santapan Utama Istana Negara. Menu yang dihidangkan pada Majlis Santapan Diraja telah mendapat sentuhan peribadi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.[7]

Majlis Santapan Diraja berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian artis tempatan Dayang Nurfaizah yang diiringi Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM). Seri Paduka Baginda berdua dan para hadirin turut menyaksikan persembahan tarian kebudayaan Permata Seni Tari.

Rujukan

WikiPedia: Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1690481 https://www.utusan.com.my/berita/nasional/al-sulta... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06... https://www.hmetro.com.my/utama/2019/07/473837/pah... http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018... https://www.thesundaily.my/style-life/feature/an-i... https://www.utusan.com.my/berita/nasional/persiapa... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/agongkit... http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1751675&f...